Ahad, 28 Disember 2014

PRESIDEN MIM OKU MALAYSIA MENERIMA  KUNJUNGAN TETAMU KEHORMAT YBHG. PROF. DATUK DR. RADUAN HAJI CHE ROSE NAIB CANSELOR UMK

Pada 13 September 2014 (Sabtu), Presiden Majlis Intelektual Melayu Orang Kurang Upaya Malaysia (MIM OKU Malaysia) telah menerima kunjungan tetamu kehormat YBhg. Profesor Datuk Dr. Raduan Haji Che Rose,Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Profesor Datuk Dr. Raduan bersama isteri Datin Dr. Fauziah binti Ibrahim serta ahli rombongannya seramai 3 orang pegawai dan staf UMK telah melakukan ziarah peribadi ke rumah Dr. Mohd. Nawi Ismail yang juga pensyarah kanan UMK, bertempat di Lot.321 Bukit Tanah Selising Pasir Puteh Kelantan. Prof. Datuk Dr. Raduan bersama rombongan tiba di kediaman Dr. Mohd.Nawi pada jam 2.20 petang dan disambut dengan persembahan seni silat Melayu yang dipersembahkan oleh kumpulan silat Man Hulubalang dari Ketereh, Kota Bharu Kelantan. .

Profesor Datuk Dr.Raduan adalah Profesor dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia & Jaringan Industri, khususnya dalam gaya pengurusan masyarakat Jepun, pengurusan antara budaya, pengurusan tenaga kerja yang efektif dan reka bentuk sistem pengurusan sumber manusia bagi tujuan perniagaan. Sebelum menjawat jawata Naib Canselor UMK yang bermula 1 Januari 2012, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) (2010-2011) dan sebagai Penasihat Khas kepada Menteri Pengajian Tinggi, Malaysia, di mana beliau terlibat secara langsung dalam pelaksanaan Pelan Transformasi Pendidikan Tinggi (2009 hingga 2010). Selain daripada tugasan beliau sebagai Naib Canselor UMK, beliau juga adalah Setiausaha Agung Majlis Profesor Negara (MPN) sejak tahun 2010.

 Kepakaran Profesor Raduan dalam aspek sumber manusia dan pengurusan yang berkesan, telah membawa beliau kepada penglibatan dalam bidang latihan dan perundingan di Malaysia, Indonesia, Brunei, Sri Lanka, India, Pakistan, China dan UAE. Pada tahun 2010, beliau telah dianugerahkan Asian HRD Congress 2010 Award (Contributions to HR Community) untuk sumbangan beliau yang cemerlang ke arah pembangunan modal insan.

 Prof. Dr. Raduan dilahirkan di Alor Gajah, Melaka dan beliau menerima pendidikan awal beliau di sana. Ijazah pertama beliau adalah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Pengajian Asia Tenggara dari Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. Kemudian, beliau memperolehi Diploma Pasca Siswazah dalam Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Ijazah Sarjana Sains (M.Sc.) dalam Industrial Relations di University of Stirling, Scotland. Selepas menamatkan Diploma Pasca Siswazah (Metodologi Penyelidikan), dia melanjutkan pengajian ke peringkat PhD. dalam bidang Pengurusan dari Leeds University Business School, University of Leeds, United Kingdom.

Menurut Dr. Mohd. Nawi, beliau amat bergembira serta berterima kasih kepada YBhg. Prof. Datuk Raduan, walaupun dalam kesibukan tugas Universiti, beliau telah meluangkan masa untuk menziarahi kekediamannya. Datuk Naib Canselor juga turut beramah mesra dengan masyarakat setempat yang terdiri daripada  para ibu bapa kepada pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajian di UMK. Majlis tersebut diadakan di Dewan Solat Masjid Ismaili yang terletak bersebelahan rumah Dr. Mohd. Nawi. Peluang OKU untuk melanjutkan pengajian lebih tinggi kini terbuka luas dengan kemudahan yang semakin dinaiktarafkan oleh pihak kerajaan. UMK yang merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mesra OKU di mana pentadbiran Prof. Datuk Dr. Raduan selaku Naib Canselor, selain terus memperkasakan pembangunan fizikal dan akademik Universiti, beliau juga turut mengutamakan pembangunan serta kebajikan staf dan juga pelajar Universiti termasuk staf dan pelajar OKU.  Di UMK terdapatnya  staf akademik, pentadbiran serta pelajar-pelajar yang berstatus OKU. Mereka diraikan oleh pengurusan Universiti seperti golongan normal yang lain tanpa diabaikan hak-hak mereka.

Rombongan Profesor Datuk Dr. Raduan Haji Che Rose berangkat pulang pada jam 5.00 petang

- Sekitar Ziarah YBhg. Prof. Datuk Dr. Raduan Haji Che Rose




 Ketibaan rombongan YBhg.  Prof. Datuk Dr. Radun dan isteri Datin Dr. Fauziah disambut dengan persembahan silat Melayu oleh kumpulan Man Hulubalang



 YBhg. Prof.  Datuk pada majlis ramah mesra bersama masyarakat setempat dan ibu bapa pelajar UMK



 Sebahagian hadirin pada majlis ramah mesra bersama YBhg. Prof. Datuk di Masjid Ismaili






Kemesraan ahli rombongan sewaktu program ziarah