Rabu, 31 Disember 2014

 MIM OKU MALAYSIA MENYERTAI  MAJLIS SAMBUTAN HARI OKU PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2014

Rabu 3 Disember 2014, Majlis Intelektual Melayu Orang Kurang Upaya Malaysia (MIM OKU Malaysia) telah menyertai Majlis Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan  Tahun 2014 yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban dan Dewan Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan.

Presiden MIM OKU Malaysia, Dr. Mohd. Nawi Ismail bersama 20 orang ahli dari seluruh negara telah turut sama menyertai majlis berprestij anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang merupakan majlis rasmi Kerajaan.

Majlis disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Lebih 1,000 Orang Kelainan Upaya (OKU) yang datang dari seluruh Negara. Turut berangkat. Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud. Yang turut hadir Menteri Besar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin dan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Noraini Mohd. Hashim.

Pada hari tersebut, sebelah paginya telah diadakan aktiviti sukan dan karnival pameran hasil kerja tangan OKU serta demonstrasi kemahiran oleh OKU. Sebelah petang pula diadakan pengurniaan beberapa anugerah kepada OKU, majikan prihatin dan pihak berkuasa tempatan. Sambutan Hari OKU ini diadakan bertujuan untuk menonjolkan kemampuan dan potensi OKU dan menjadi pemangkin serta faktor perangsang kepada semua pihak, agar lebih prihatin dan peka kepada keperluan OKU.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata,  “Golongan OKU harus diberi ruang dan peluang yang menyeluruh, penyertaan penuh dalam membuat sesuatu keputusan serta menikmati semua kemudahan yang disediakan sama seperti masyarakat lain. Komitmen ini tidak pernah terhenti malah akan terus diberi keutamaan oleh Kementerian ini dalam memperjuangkan isu-isu kebajikan yang menyeluruh tentang kepentingan OKU. Malah tema yang dipilih, Pembangunan Lestari: Aksesibiliti Diutamakan merupakan komitmen Kerajaan dalam usaha memenuhi keperluan OKU dari segi aksesibiliti terhadap pendidikan, pemulihan, penjagaan, pengangkutan, keselamatan, komunikasi, teknologi dan sebagainya. Dalam usaha Kerajaan memacu pembangunan Negara seharusnya menjadi tanggungjawab Kerajaan dalam memberi keutamaan terhadap kepentingan OKU agar mereka turut menikmati pembangunan Negara tanpa dipinggirkan”. (Petikan Kata-Kata Aluan Buku Majlis Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan  Tahun 2014).

Kemuncak majlis tersebut juga menyaksikan penyampaian Anugerah PDK Cemerlang, Anugerah Khas OKU kategori sukan, usahawan dan akademik,  kategori Majikan Prihatin serta PBT Prihatin.
Dr. Mohd. Nawi Ismail berkata, kerajaan sememangnya  begitu prihatin terhadap  golongan OKU di negara ini, serta berterima kasih kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kerana pada 3 Disember setiap tahun telah diadakan sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan yang menjadi upecara rasmi Negara. Ini merupakan satu penghargaan yang besar kepada golongan OKU di negara ini yang terdiri daripada kepelbagaian etnik dan agama. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada penerima-penerima Anugerah Khas Orang Kurang Upaya bagi kategori sukan, Mohammad Azlan Mat Lazin, kategori usahawan, Mohd. Shukur Ibrahim dan kategori pendidikan, Dr. Naziaty Mohd. Yaacob.



Dr. Mohd Nawi Menjunjung kasih DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sempena  keberangkatan Baginda ke Karnival Hari OKU 2014



Para peserta Hari OKU 2014 sedang melakukan Senam Robik


Kumpulan Tarian  OKU kategori bisu mempersembahkan tarian pada Hari OKU 2014








Peserta OKU menyampaikan lagu-lagu nyanyian dalam pertandingan Karaoke Hari OKU 2014


Kanak-kanak OKU dan normal pada pertandinga mewarna Hari OKU 2014





Orang-orang kenamaan serta peserta OKU yang turut hadir pada majlis Sambutan Hari OKU 2014

Penerima-penerima Anugerah Khas Orang Kurang Upaya (dari kiri), kategori sukan, Mohammad Azlan Mat Lazin, kategori usahawan, Mohd. Shukur Ibrahim dan kategori pendidikan, Dr. Naziaty Mohd. Yaacob bersama piala yang mereka menangi sempena Majlis Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan 2014.