PELANTIKAN PENASIHAT KEHORMAT

PELANTIKAN YBHG. DATO’ PROF. DR. HASHIM YAACOB
SEBAGAI PENASIHAT KEHORMAT I MAJLIS INTELEKTUAL MELAYU
ORANG KURANG UPAYA MALAYSIA
(MIM OKU MALAYSIA)

 

  

Pengurusan Majlis Intelektual Melayu Orang Kurang Upaya Malaysia (MIM OKU Malaysia) berbesar hati telah melantik YBhg. Dato’ Prof. Dr. Hashim Yaacob sebagai Penasihat Kehormat I, yang bermula Januari 2012. Pelantikan ini adalah satu penghormatan tinggi terhadap beliau yang merupakan seorang tokoh akademik negara yang telah banyak menabur jasa dan bakti kepada rakyat dan negara Malaysia terutamanya dalam bidang perubatan, kesenian dan  pendidikan tinggi.
YBhg. Dato’ Prof. Dr. Hashim dilahirkan di Tanah Merah, Kelantan. Beliau berasal dari keluarga miskin di mana ibu dan bapanya merupakan penoreh getah di Tanah Merah, Kelantan  dan mereka juga buta huruf. Beliau yang belajar di sekolah kampung yang serba kekurangan dan kini menjadi profesor terbilang dalam bidang perubatan mulut. Mendapat Ijazah Sarjana Muda Pergigian daripada University of Otago New Zealand pada tahun 1974. Seterusnya beliau meyambung pelajaran ke University of London dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Patologi dan Perubatan Mulut. 
Beliau telah mendapat anugerah sebagai Felo Pembedahan Pergigian dari Royal College Of Physicians and Surgeons, Glasgow dan Felo Kehormat dalam Pembedahan Pergigian ad eundem oleh Royal College of Surgeons, England.
Selain menjadi ahli biologi bertauliah di Institute of Biology, United Kingdom, beliau juga merupakan  Felo Pengasas dalam bidang Patologi Mulut di Royal College of Pathologist, Australasia. Beliau adalah satu-satunya pakar bedah pergigian di negara ini yang telah dikurniakan status sebagai Felo di Akademi Sains Malaysia.
Sepanjang kariernya sehingga kini, beliau telah menyandang pelbagai jawatan dalam bidang akademik. Antaranya beliau pernah diamanahkan sebagai Ketua Jabatan Perubatan dan Pembedahan Mulut, Timbalan Dekan, dan Dekan Fakulti Pergigian, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Naib Canselor Universiti Malaya, Naib Canselor KLMUC dan kini beliau menjawat jawatan sebagai Naib Canselor di Quest International University Perak (QIUP).
Beliau sentiasa percaya bahawa setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan kepercayaan, harus menikmati kehidupan yang harmoni antara satu sama lain. Berdasarkan prinsip ini, beliau menyambung pengajian dalam bidang perbandingan agama dan memperoleh Diploma Pengajian Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kecemerlangan perkhidmatan Hashim terhadap masyarakat mendapat pengiktirafan apabila beliau dianugerahkan Dato' Paduka Setia Mahkota Kelantan oleh Sultan Kelantan  yang membawa gelaran Dato’.

Pengurusan MIM OKU Malaysia amat berbangga dan berterima kasih kepada YBhg. Dato’ Prof. Dr. Hashim Yaacob yang telah sudi menjadi Penasihat Kehormat I pertubuhan ini demi turut membela dan memartabatkan warga OKU di Malaysia. Selain daripada memberi nasihat dan bimbingan dalam bentuk idea dan pemikiran, YBhg. Dato’ juga sering memberi sumbangan kewangan bagi menjayakan aktiviti-aktiviti pertubuhan ini.

MIM OKU Malaysia juga turut melantik YBrs. Tuan Haji Hashim Ismail sebagai Penasihat Kehormat II. Beliau merupakan seorang ahli akademik dan usahawan, berkelulusan BA, MBA dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Berpengalaman lebih lima belas tahun sebagai pendidik dan pensyarah universiti yang pernah bertugas di UKM dan UiTM. Beliau turut sama membantu pertubuhan NGO ini ke tahap yang lebih cemerlang dan gemilang. Semoga Allah s.w.t merahmati setiap insan mulia yang sentiasa mencurahkan bakti.

PENGURUSAN MIM OKU MALAYSIA
Mei 2013