DARI MEJA PRESIDEN

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum WBT.

Alhamdullilah dan Selamat Datang ke laman Majlis Intelektual Melayu OKU Malaysia (MIM OKU Malaysia), iaitu merupakan sebuah  pertubuhan NGO di peringkat kebangsaan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) No. 5230-11-KEL, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Aras 2&3, Blok B, Bangunan Utama Chancery Place, Jalan Diplomatik 2, Presint Diplomatik, 62050, Putrajaya.

MIM OKU Malaysia adalah sebuah pertubuhan NGO yang berjuang  mendukung cita-cita memartabatkan maruah golongan OKU  Melayu/Bumiputera demi agama, bangsa dan negara. Sehubungan dengan itu Asas & Tujuan adalah seperti berikut:

(1)   Menggabungkan komuniti Profesional OKU Melayu/Bumiputera Islam daripada pelbagai disiplin dan bidang kerjaya bersama-sama dalam membangunkan negara dan menangani cabaran-cabaran dari dalam dan luar negara.

(2) Membudayakan gerak kerja terbaik berbentuk profesional, kemasyarakatan dan patriotik berdasarkan lunas-lunas Islam dengan menyediakan khidmat yang sesuai kepada institusi-institusi dan masyarakat melalui pelbagai aktiviti.

(3) Menjamin membantu kebajikan ahli-ahli terutama dalam mempertingkatkan bidang pendidikan serta secara agresif akan bertindak sebagai salah sebuah katalis komuniti OKU yang berdaya maju. 

(4) Menyokong segala usaha dan dasar Kerajaan Malaysia bagi membangunkan negara ini sebaik-baiknya secara membantu dan menolong semua rakyat Malaysia yang memerlukan tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan khasnya bagi  orang kelainan upaya.

(5) Mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal serta kedaulatan Institusi Raja Melayu Beperlembagaan. Motto MIM OKU Malaysia: Profesional – Progresif – Takwa.

Warga OKU adalah insan istimewa di antara kita; mereka harus dihormati dan disayangi. Mereka juga mempunyai peranan penting dalam memastikan keharmonian masyarakat dan pembangunan negara. Untuk menentukan agar kepentingan OKU sentiasa terpelihara dan memungkinkan mereka hidup berdikari semestinya potensi yang ada pada mereka perlu diperkasakan berteraskan nilai-nilai akademik. Masyarakat yang tercicir dalam penguasaan ilmu pengetahuan sama ada ilmu keagaaman atau juga ilmu kontemporari, masyarakat itu akan ketingalan dibelakang jika dibandingkan dengan bangsa yang lebih moden dan maju dalam penguasaan ilmu pengetahuan serta teknologi.

Dalam usaha membina kerjaya bagi mencapai kecemerlangan, golongan OKU sendiri seharusnya sentiasa berpegang kuat dengan falsafah; hidup ini biarlah tabah kerana kejayaan dan kecemerlangan adalah milik setiap insan yang tekun, berhemah tinggi, sabar, ikhlas, jujur dan sentiasa  meletakkan keyakinan pada diri sendiri dalam apa jua situasi dan keadaan serta bertawakkal kepada Allah s.w.t. Mereka juga mesti menggabungkan diri bersama komuniti profesional OKU daripada pelbagai disiplin dan bidang kerjaya bersama-sama dalam membangunkan negara dan menangani cabaran-cabaran semasa. Membudayakan gerak kerja terbaik berbentuk profesional, kemasyarakatan  dan petriotik dengan bersedia memberi khidmat yang sesuai kepada institusi-institusi dan masyarakat melalui pelbagai aktiviti berbekalkan kemampuan yang dimiliki.
                                      
Pemerkasaan golongan OKU di negara ini jelas memberi satu pancaran gemilang bagi golongan ‘istimewa’ untuk terus bersama dalam arus transformasi negara sama dengan golongan normal. Penguasaan ilmu dan  kemahiran adalah amat penting, sebagai senjata ampuh untuk terus bersaing dan menyumbang kepada negara ke arah mencapai wawasan 2020. Iltizam pihak kerajaan dan juga pihak swasta dalam memperkasakan golongan OKU adalah satu perkara yang amat dihargai

Akhir kata, saya ingin mengambil peluang ini untuk menjemput semua warga OKU dalam dan luar negara yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada mereka yang akan melakar sejarah mentransformasikan diri bersama MIM OKU Malaysia ini ke gerbang kecemerlangan intelektualisme, pendidikan dan keusahawanan yang nanti Insya Allah bertaraf dunia.

PROFESIONAL – PROGRESIF – TAKWA.

DR. MOHD. NAWI BIN HAJI ISMAIL
(BA AL-AZHAR, MA, PHD. UM)

PRESIDEN       
MAJLIS INTELEKTUAL MELAYU OKU MALAYSIA
(MIM OKU MALAYSIA)

HP. 0139642547                                     
Email: mimoku_malaysia@yahoo.com  / nawi_mohdnawi@yahoo.com