Rabu, 31 Disember 2014

 MIM OKU MALAYSIA MENYERTAI  MAJLIS SAMBUTAN HARI OKU PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2014

Rabu 3 Disember 2014, Majlis Intelektual Melayu Orang Kurang Upaya Malaysia (MIM OKU Malaysia) telah menyertai Majlis Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan  Tahun 2014 yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban dan Dewan Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan.

Presiden MIM OKU Malaysia, Dr. Mohd. Nawi Ismail bersama 20 orang ahli dari seluruh negara telah turut sama menyertai majlis berprestij anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang merupakan majlis rasmi Kerajaan.

Majlis disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Lebih 1,000 Orang Kelainan Upaya (OKU) yang datang dari seluruh Negara. Turut berangkat. Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud. Yang turut hadir Menteri Besar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin dan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Noraini Mohd. Hashim.

Pada hari tersebut, sebelah paginya telah diadakan aktiviti sukan dan karnival pameran hasil kerja tangan OKU serta demonstrasi kemahiran oleh OKU. Sebelah petang pula diadakan pengurniaan beberapa anugerah kepada OKU, majikan prihatin dan pihak berkuasa tempatan. Sambutan Hari OKU ini diadakan bertujuan untuk menonjolkan kemampuan dan potensi OKU dan menjadi pemangkin serta faktor perangsang kepada semua pihak, agar lebih prihatin dan peka kepada keperluan OKU.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata,  “Golongan OKU harus diberi ruang dan peluang yang menyeluruh, penyertaan penuh dalam membuat sesuatu keputusan serta menikmati semua kemudahan yang disediakan sama seperti masyarakat lain. Komitmen ini tidak pernah terhenti malah akan terus diberi keutamaan oleh Kementerian ini dalam memperjuangkan isu-isu kebajikan yang menyeluruh tentang kepentingan OKU. Malah tema yang dipilih, Pembangunan Lestari: Aksesibiliti Diutamakan merupakan komitmen Kerajaan dalam usaha memenuhi keperluan OKU dari segi aksesibiliti terhadap pendidikan, pemulihan, penjagaan, pengangkutan, keselamatan, komunikasi, teknologi dan sebagainya. Dalam usaha Kerajaan memacu pembangunan Negara seharusnya menjadi tanggungjawab Kerajaan dalam memberi keutamaan terhadap kepentingan OKU agar mereka turut menikmati pembangunan Negara tanpa dipinggirkan”. (Petikan Kata-Kata Aluan Buku Majlis Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan  Tahun 2014).

Kemuncak majlis tersebut juga menyaksikan penyampaian Anugerah PDK Cemerlang, Anugerah Khas OKU kategori sukan, usahawan dan akademik,  kategori Majikan Prihatin serta PBT Prihatin.
Dr. Mohd. Nawi Ismail berkata, kerajaan sememangnya  begitu prihatin terhadap  golongan OKU di negara ini, serta berterima kasih kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kerana pada 3 Disember setiap tahun telah diadakan sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan yang menjadi upecara rasmi Negara. Ini merupakan satu penghargaan yang besar kepada golongan OKU di negara ini yang terdiri daripada kepelbagaian etnik dan agama. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada penerima-penerima Anugerah Khas Orang Kurang Upaya bagi kategori sukan, Mohammad Azlan Mat Lazin, kategori usahawan, Mohd. Shukur Ibrahim dan kategori pendidikan, Dr. Naziaty Mohd. Yaacob.



Dr. Mohd Nawi Menjunjung kasih DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sempena  keberangkatan Baginda ke Karnival Hari OKU 2014



Para peserta Hari OKU 2014 sedang melakukan Senam Robik


Kumpulan Tarian  OKU kategori bisu mempersembahkan tarian pada Hari OKU 2014








Peserta OKU menyampaikan lagu-lagu nyanyian dalam pertandingan Karaoke Hari OKU 2014


Kanak-kanak OKU dan normal pada pertandinga mewarna Hari OKU 2014





Orang-orang kenamaan serta peserta OKU yang turut hadir pada majlis Sambutan Hari OKU 2014

Penerima-penerima Anugerah Khas Orang Kurang Upaya (dari kiri), kategori sukan, Mohammad Azlan Mat Lazin, kategori usahawan, Mohd. Shukur Ibrahim dan kategori pendidikan, Dr. Naziaty Mohd. Yaacob bersama piala yang mereka menangi sempena Majlis Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan 2014. 



Selasa, 30 Disember 2014


PENASIHAT KEHORMAT 1 MIM OKU  MALAYSIA MENDEKLAMASI PUISI  PADA MALAM  PUISI  KELANTAN  BERSAMA  SELAMATKAN  GHAZA

Serangan  ganas berterusan rejim Zionis Israel keatas saudara Islam Gaza dan Tebing Barat di Palestin sentiasa mendapat simpati dari kalangan rakyat Malaysia khususnya warga sastera atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan Islam. Pergolakan dan kezaliman yang berlaku di Palestin khususnya di Gaza seharusnya memberi kesedaran bahawa kedaulatan sesebuah negara wajar dipertahankan anak watan sendiri dengan syarat mereka bersatu padu.

Penyair terkenal yang juga bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Dato’ Dr. Hashim Yaacob (Penasihat Kehormat 1 MIM OKU Malaysia) berkata, bangsa Melayu khususnya perlu bersatu kerana dengan kesatuan itulah mereka dapat memastikan keharmonian bersama-sama bangsa lain untuk membina sebuah negara yang aman dan berjaya. Beliau yang kini Naib Canselor Quest International University Perak  berkata, hanya masyarakat yang hidup dalam negara aman dan bukannya tunggang-langgang dapat membantu golongan tertindas di tempat lain.

Pada 14 Sept. 2014, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan dan Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) telah menganjurka Malam Puisi Kelantan 'Bersama-sama Selamatkan Gaza' yang bermula jam 8.00 malam bertempat di Auditorium JKKN Kota Bharu Kelantan. Malam Puisi Kelantan 'Bersama-sama Selamatkan Gaza' adalah salah satu medium untuk menunjukkan keperihatinan tinggi dan solidariti kita rakyat Malaysia dalam menggembelengkan usaha membawa kesedaran dan rasa bertanggungjawab kepada pembunuhan rakyat Palestin dan kekejaman Israel. Program itu dirasmikan Pengarah JKKN Kelantan, Che Kassim Mahmud dan dihadiri Ketua 1 GEMA Encik Zainal Abidin Muhamad.

Turut sama mendeklamasi puisi pada Malam Puisi Kelantan 'Bersama-sama Selamatkan Gaza' adalah mantan Naib Canselor UM, YBhg Prof. Dato’ Dr. Hashim Yaacob yang menyampaikan puisi silat yang diiringi oleh kumpulan silat Man Hulubalang, Dr. Mohd. Nawi Ismail menyampaikan puisi berjudul ‘Bicara Di Padang Merah’, Dr. Nor Hasnida Ab. Gani, Rahimidin Zahari, Maroof Seman, Mohd. Zizee Setapa, Rosli K Matari, Abd. Razak Rezeki Othman, Amimudin Mamat, M Arif, Hannan Afiqah Ruslan, Wan Fatimah Abdullah, Ahmad Ajmain Razali, dan Diya Ikhlas Ayrisya Shahrul Rizal. Majlis diakhiri dengan persembahan pantomin oleh kumpulan pelajar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Sekitar Malam Puisi Kelantan 'Bersama-Sama Selamatkan Gaza



Prof. Dato’ Dr. Hashim Yaacob Persembah Puisi Silat


Dr. Mohd. Nawi Ismail Mendeklamasi Puisi



Pemuisi Mendeklamasi Puisi

Ahad, 28 Disember 2014

PRESIDEN MIM OKU MALAYSIA MENERIMA  KUNJUNGAN TETAMU KEHORMAT YBHG. PROF. DATUK DR. RADUAN HAJI CHE ROSE NAIB CANSELOR UMK

Pada 13 September 2014 (Sabtu), Presiden Majlis Intelektual Melayu Orang Kurang Upaya Malaysia (MIM OKU Malaysia) telah menerima kunjungan tetamu kehormat YBhg. Profesor Datuk Dr. Raduan Haji Che Rose,Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Profesor Datuk Dr. Raduan bersama isteri Datin Dr. Fauziah binti Ibrahim serta ahli rombongannya seramai 3 orang pegawai dan staf UMK telah melakukan ziarah peribadi ke rumah Dr. Mohd. Nawi Ismail yang juga pensyarah kanan UMK, bertempat di Lot.321 Bukit Tanah Selising Pasir Puteh Kelantan. Prof. Datuk Dr. Raduan bersama rombongan tiba di kediaman Dr. Mohd.Nawi pada jam 2.20 petang dan disambut dengan persembahan seni silat Melayu yang dipersembahkan oleh kumpulan silat Man Hulubalang dari Ketereh, Kota Bharu Kelantan. .

Profesor Datuk Dr.Raduan adalah Profesor dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia & Jaringan Industri, khususnya dalam gaya pengurusan masyarakat Jepun, pengurusan antara budaya, pengurusan tenaga kerja yang efektif dan reka bentuk sistem pengurusan sumber manusia bagi tujuan perniagaan. Sebelum menjawat jawata Naib Canselor UMK yang bermula 1 Januari 2012, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) (2010-2011) dan sebagai Penasihat Khas kepada Menteri Pengajian Tinggi, Malaysia, di mana beliau terlibat secara langsung dalam pelaksanaan Pelan Transformasi Pendidikan Tinggi (2009 hingga 2010). Selain daripada tugasan beliau sebagai Naib Canselor UMK, beliau juga adalah Setiausaha Agung Majlis Profesor Negara (MPN) sejak tahun 2010.

 Kepakaran Profesor Raduan dalam aspek sumber manusia dan pengurusan yang berkesan, telah membawa beliau kepada penglibatan dalam bidang latihan dan perundingan di Malaysia, Indonesia, Brunei, Sri Lanka, India, Pakistan, China dan UAE. Pada tahun 2010, beliau telah dianugerahkan Asian HRD Congress 2010 Award (Contributions to HR Community) untuk sumbangan beliau yang cemerlang ke arah pembangunan modal insan.

 Prof. Dr. Raduan dilahirkan di Alor Gajah, Melaka dan beliau menerima pendidikan awal beliau di sana. Ijazah pertama beliau adalah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Pengajian Asia Tenggara dari Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. Kemudian, beliau memperolehi Diploma Pasca Siswazah dalam Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Ijazah Sarjana Sains (M.Sc.) dalam Industrial Relations di University of Stirling, Scotland. Selepas menamatkan Diploma Pasca Siswazah (Metodologi Penyelidikan), dia melanjutkan pengajian ke peringkat PhD. dalam bidang Pengurusan dari Leeds University Business School, University of Leeds, United Kingdom.

Menurut Dr. Mohd. Nawi, beliau amat bergembira serta berterima kasih kepada YBhg. Prof. Datuk Raduan, walaupun dalam kesibukan tugas Universiti, beliau telah meluangkan masa untuk menziarahi kekediamannya. Datuk Naib Canselor juga turut beramah mesra dengan masyarakat setempat yang terdiri daripada  para ibu bapa kepada pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajian di UMK. Majlis tersebut diadakan di Dewan Solat Masjid Ismaili yang terletak bersebelahan rumah Dr. Mohd. Nawi. Peluang OKU untuk melanjutkan pengajian lebih tinggi kini terbuka luas dengan kemudahan yang semakin dinaiktarafkan oleh pihak kerajaan. UMK yang merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mesra OKU di mana pentadbiran Prof. Datuk Dr. Raduan selaku Naib Canselor, selain terus memperkasakan pembangunan fizikal dan akademik Universiti, beliau juga turut mengutamakan pembangunan serta kebajikan staf dan juga pelajar Universiti termasuk staf dan pelajar OKU.  Di UMK terdapatnya  staf akademik, pentadbiran serta pelajar-pelajar yang berstatus OKU. Mereka diraikan oleh pengurusan Universiti seperti golongan normal yang lain tanpa diabaikan hak-hak mereka.

Rombongan Profesor Datuk Dr. Raduan Haji Che Rose berangkat pulang pada jam 5.00 petang

- Sekitar Ziarah YBhg. Prof. Datuk Dr. Raduan Haji Che Rose




 Ketibaan rombongan YBhg.  Prof. Datuk Dr. Radun dan isteri Datin Dr. Fauziah disambut dengan persembahan silat Melayu oleh kumpulan Man Hulubalang



 YBhg. Prof.  Datuk pada majlis ramah mesra bersama masyarakat setempat dan ibu bapa pelajar UMK



 Sebahagian hadirin pada majlis ramah mesra bersama YBhg. Prof. Datuk di Masjid Ismaili






Kemesraan ahli rombongan sewaktu program ziarah