Selasa, 27 Ogos 2013

RAMAH MESRA DAN DIALOG MIM OKU MALAYSIA BERSAMA PUIM

Pada hari Sabtu 15 Jun 2013, bermula jam 2.30  hingga 5.30 petang telah berlangsungnya majlis ramah mesra dan dialog antara rombongan  Majlis Intelektual Melayu Orang Kurang Upaya Malaysia (MIM OKU Malaysia)  bersama kepimpinan dan ahli Persatuan Usahawan Istimewa OKU Malaysia (PUIM). Majlis tersebut diadakan di pejabat operasi PUIM yang terletak di tingkat bawah Wisma MARA bersebelahan Bank Islam, Medan MARA Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Seramai 6 orang ahli rombongan MIM OKU Malaysia yang diketuai oleh Dr. Mohd. Nawi Ismail selaku presiden, diikuti En. Mohd. Zamri  selaku bendahari, Encik Mohd. Anas exco penerangan dan dakwah, Encik Drawi pemeriksa kira-kira I dan dua orang ahli turut serta dalam rombongan tersebut. Manakala PUIM pula dihadiri  15 orang AJK Pengurusan  dan ahlinya yang di ketuai oleh Presidennya, Encik Norman Ismail yang merupakan seorang OKU anggota.
Majlis ramah mesra dan dialog dimulakan dengan ucapan presiden PUIM yang kemudiannya diikuti ucapan timbal balas oleh Presiden MIM OKU Malaysia, DR. Mohd. Nawi Ismail. Kemudian majlis diteruskan dengan sesi dialog antara ahli rombongan MIM OKU Malaysia bersama saf kepimpinan PUIM.
Dalam ucapannya, presiden PUIM menjelaskan, PUIM ditubuhkan pada 26hb. Feb 2010 oleh sekumpulan warga OKU yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan perniagaan yang mencabar meski pun dengan kekurangan fizikal dan mental yang mereka alami. PUIM setakat ini sudah mempunyai 500 orang ahli berdaftar yang terdiri dari kalangan OKU berbagai kategori dan kaum yang bergiat dalam bidang perniagaan keusahawan  masing-masing. Sebahagiannya merupakan graduan OKU dari universiti-universiti dalam dan luar negara, juga mereka yang pernah menjawat jawatan penting dalam institusi kerajaan’, GLC dan juga syarikat swasta. Objektif persatuan itu secara dasarnya adalah bertujuan untuk merubah nasib ahli-ahlinya daripada sering dilabel sebagai warga yang meminta-minta kepada warga yang boleh menyumbang kepada ekonomi Negara. Katanya lagi, PUIM setakat ini telah berjaya membantu ahli-ahli melalui berbagai latihan perniagaan bersepadu dimana di dalam latihan ini setiap ahli dapat belajar tentang selok-belok perniagaan seperti leadership training, business management, business accounting dan personal development training. Misi persatuan adalah untuk menjadi satu pusat sumber perniagaan atau business excellence center yang bertaraf antarabangsa dimana ahli-ahlinya dapat memperluaskan perniagaan mereka di persada dunia antarabangsa. Pihak persatuan menerusi pakar runding yang terlatih juga ada memberi perkhidmatan tambahan seperti khidmat nasihat didalam urusan perniagaan seperti membuat pelan perniagaan (business plan), khidmat nasihat dalam urusan mencari dana permulaan perniagaan (seed fund) dan khidmat kaunselling berterusan (continuous business counseling) bagi ahli ahli yang berminat. Persatuan juga ada memberi khidmat nasihat didalam peniagaan Francais menerusi persatuan Malaysian Francais Association (MFA).
Manakala Dr. Mohd. Nawi selaku presiden MIM OKU Malaysia di dalam ucapannya menyatakan, MIM OKU juga sebagai sebuah pertubuhan NGO diperingkat kebangsaan mempunyai matlamat dan tujuan yang sama dengan PUIM iaitu berusaha membangunkan  modal insan OKU di seluruh negara melalui aktiviti kemasyarakan dengan berusaha membudayakan gerak kerja terbaik berbentuk profesional, kemasyarakatan dan petriotik berteraskan ilmu dan pendidikan sebagaimana dituntut oleh agama Islam. MIM OKU Malaysia menyediakan khidmat yang sesuai kepada institusi-institusi dan masyarakat melalui pelbagai aktiviti ilmiah seperti seminar, bengkel dan lain-lain. Menurut Dr. Mohd. Nawi lagi MIM OKU Malaysia kini mencapai 500 orang ahli berdaftar dari seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak, yang terdirii daripada OKU pelbagai kategori dengan latar belakang pendidikan  diperingkat SPM hinggalah  Doktor Falsafah (PhD.). Jumlah keahlian juga makin bertambah dari semasa ke semasa. MIM OKU Malaysia  sentiasa beriltizam untuk membantu kebajikan ahli-ahli dan warga OKU, terutama dalam mempertingkatkan bidang pendidikan serta secara agresif akan bertindak sebagai salah sebuah katalis komuniti OKU yang berdaya maju diperingkat nasional dan juga antarabangsa.
Menerusi sesi dialog yang diadakan beberapa permasaalahan yang dihadapi oleh warga OKU di negara ini telah dapat dikenalpasti bersama khususnya yang berkaitan pendidikan, peluang-peluang pekerjaan dalam usaha mempertingkatkan ekonomi keluarga OKU, bentuk-bentuk bantuan yang telah disediakan oleh agensi-agensi kerajaan dan juga pihak swasta untuk golongan OKU yang semestinya dapat dimanfaatkan oleh golongan istimewa tersebut. Hasil daripada diolog diadakan MIM OKU Malaysia dan PUIM bersetuju untuk menjalinkan kerejasama dengan mengadakan program dan aktiviti-aktiviti bersama yang berbentuk pembangunan modal insan OKU sama ada di peringkat negeri-negeri atau pun diperingkat nasional.  Majlis diakhiri dengan  sesi penyampaian cenderahati kepada kedua-dua presiden dan bergambar bersama antara ahli rombongan MIM OKU Malaysia dan pimpinan PUIM. 

Gambar-gambar sepanjang program


 Encik Rosman Ismail, Presiden PUIM sedang menyampaikan ucapan

 Dr. Mohd. Nawi Ismail, Presiden MIM OKU Malaysia turut memberi ucapan dan berdialog bersama Presiden PUIM


 Rombongan MIM OKU berdialog serta bertukar pandang bersama pimpinan PUIM
 Timbalan Presiden PUIM Encik Airos Shahidin Manaf (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Presiden MIM OKU (kanan)
 Presiden MIM OKU Malaysia (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Timbalan Presiden PUIM (kiri)
 

 Ahli rombongan MIM OKU Malaysia bergambar bersama pimpinan PUIM
(Presidem PUIM depan dua dari kiri dan Presiden MIM OKU Malaysia depan tiga dari kiri) 

Produk keluaran/edaran PUIM bagi menjana ekonomi persatuan dan ahli
  
Disediakan: Unit Multimedia MIM OKU Malaysia