Jumaat, 7 Jun 2013

GOLONGAN OKU MAMPU CEMERLANG DAN BERJAYA

Oleh : Syarimie Wosley

Gambar : Hafis Fauzi                                            Hebahan : Berita@umk.edu.my






 SEMINAR Sains Kemanusiaan Orang Kurang Upaya (SKOKU) 2013 anjuran Jabatan Kemanusiaan, Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah (PBI) dengan kerjasama Majlis Intelektual Melayu OKU Malaysia (MIM OKU Malaysia) dilihat mampu membuka dimensi baru kepada golongan OKU bahawa mereka juga boleh mencipta kejayaan dan cemerlang dalam bidang keilmuan.

Penasihat Kehormat I MIM OKU Malaysia, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hashim bin Yaacob berkata, golongan OKU kini tidak lagi dilabelkan sebagai masyarakat terpinggir atau menjadi mangsa diskriminasi seperti tanggapan negatif oleh beberapa pihak.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan telah menyediakan begitu banyak inisiatif dan peluang dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan untuk golongan OKU untuk mereka berusaha dan berikhtiar meningkatkan kualiti diri mereka untuk diperkembangkan dalam segenap aspek.

“Seperti kita ketahui, kerajaan di negara kita sudah cukup prihatin terhadap nasib golongan OKU dan mereka telah disediakan dengan pelbagai peluang-peluang untuk dimanfaatkan oleh golongan tersebut,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada seminar SKOKU yang bertemakan Modal Insan OKU: Rakan Pembangunan Negara, di sebuah hotel, di Kota Bharu, Kelantan, pada 18 Mei 2013.

Hadir sama, Pengarah UMK Kampus Jeli, YBhg. Prof. Dr. Ibrahim bin Che Omar, Pendaftar UMK, YBhg. Prof. Dr. Razli bin Che Razak, Pengarah PBI UMK, YBhg. Prof. Dr. Farok bin Zakaria dan Timbalan Mufti Negeri Kelantan,

YBhg. Dato’ Haji Nik Abdul Kadir bin Nik Mohamad.


Menurut Prof. Dato’ Dr. Hashim, kerajaan sudah membela nasib OKU tetapi malangnya ramai di kalangan mereka ini tidak mahu mengambil peluang dan ambil tahu berkenaan hak-hak kepentingan mereka.

Jelas beliau, jika dilihat dalam era pembangunan negara masa kini, golongan tersebut bakal menjadi penyumbang kepada pembangunan modal insan yang berguna kepada negara.

“Mereka ini memiliki keupayaan dan bakat yang berpotensi untuk mencapai kejayaan dan tidak sepatutnya menjadikan kekurangan mereka sebagai alasan untuk tidak berusaha atau berikhtiar memperbaiki diri sendiri,” ujar beliau selaku Naib Canselor Universiti Antarabangsa Quest Perak.

Malah, kata beliau, program seminar anjuran UMK ini setidak-tidaknya nasib golongan OKU terbela dan dapat membuka mata masyarakat bahawa golongan OKU bahawa mereka mampu menghasilkan kejayaan setanding orang lain kerana mereka hanya kekurangan dalam segi fizikal tetapi masih dikurniakan akal yang mungkin lebih baik daripada manusia normal.

''Ini dapat menangkis persepsi bahawa golongan OKU hanya mengharap bantuan serta ihsan daripada orang lain,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden MIM OKU Malaysia, YBhg. Dr. Nawi bin Hj. Ismail berkata, penganjuran SKOKU 2013 adalah bertujuan untuk menyediakan platform bagi para intelektual daripada pelbagai bidang dan tokoh untuk menyumbang hasil penyelidikan, idea, buah fikiran yang menjurus kepada permasalahan isu pembangunan modal insan OKU.

Kata beliau, seminar ini merupakan julung-julung kali diadakan hasil daripada kesinambungan program Regional Conference on Values and Humanities Issues (RECOVH) 2012.

“Pada seminar ini seramai 200 orang peserta telah memberi respon yang menarik dalam pelbagai isu dan cabaran melibatkan modal insan OKU khususnya krisis keyakinan diri OKU untuk mencari jalan penyelesaian," katanya


Gambar-gambar sekitar SKOKU 2013


Peserta seminar mendaftar di meja urusetia


      Pengerusi majlis mengendalikan seminar
 






 Ahli-ahli akademik menyampaikan ucapan dan pembentangan kertas kerja seminar





 
Presiden MIM OKU Malaysia (barisan hadapan dua dari kiri) bersama tetamu-tetamu kehormat SKOKU 2013






 Para peserta sedang mengikuti SKOKU 2013

Pelajar-pelajar istimewa daripada SMK Mulong Kota Bharu, Kelantan sedang mempersembahkan Tarian 1 Malaysia pada majlis SKOKU